Sab12202014

Last updateSab, 20 Dis 2014 4pm

Artikel

Hudud: PAS akan beri taklimat kepada DHPP, orang ramai

 

KUALA LUMPUR: Satu taklimat penerangan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah II yang merangkumi hukum hudud akan diadakan kepada pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam tempoh terdekat.

 

Taklimat yang dijadualkan di Kuala Lumpur itu akan diadakan secara tertutup bagi memudahkan pimpinan DHPP mendapat penjelasan secara lebih efektif berhubung enakmen yang menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam.

 

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata taklimat tertutup itu akan melibatkan semua pimpinan DHPP di peringkat pusat dan negeri, dan seterusnya beberapa taklimat serta himpunan khas untuk untuk orang ramai.

 

"Kita sedar, ramai di kalangan ahli DHPP sendiri yang tidak jelas dengan enakmen dan hukum hudud ini sendiri hingga menyukarkan mereka untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam.

 

"Justeru, PAS Pusat telah memutuskan untuk mengadakan taklimat tertutup berkaitan enakmen ini dalam tempoh terdekat kepada pimpinan DHPP terlebih dahulu, sebelum program lain yang akan dibuka untuk orang ramai," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

 

Beliau yang juga baru dilantik sebagai Penasihat DHPP, turut memaklumkan bahawa satu pertemuan dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR akan diadakan pada Selasa, 29 April ini di Pejabat Agung PAS.

 

Katanya, pertemuan itu merupakan satu pertemuan khusus bagi membincangkan dan menjelaskan secara terperinci berkaitan enakmen tersebut kepada rakan-rakan dalam pakatan.

 

Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membawa usul persendirian bagi membincangkan soal Enkmen Jenayah Syariah II ke parlimen menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam.

 

Beberapa siri bantahan dilakukan beberapa NGO bukan Islam, selain dari MCA sendiri berhubung hasrat kerajaan negeri tersebut.

 

Malah, sebelum ini DHPP turut menyatakan keresahan apabila terdapat sebilangan ahli DHPP sendiri yang tidak jelas dan faham berkaitan enakmen tersebut yang hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam sahaja.

 

Ekoran itu, DHPP menggesa PAS Pusat mengambil langkah segera dan proaktif untuk memberi penerangan khusus kepada DHPP sendiri bagi memudahkan usaha ahli-ahli DHPP untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam.