Ahd12212014

Last updateAhd, 21 Dis 2014 1am

Artikel

15 syarikat sertai tender Lebuh Raya Rakyat

 

KOTA BHARU: Setakat ini sebanyak 50 syarikat berminat terhadap projek Lebuh Raya Rakyat menghubungkan Machang-Kuala Krai, sejak tender dibuka bermula 15 Januari lalu.Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad bagaimanapun berkata, sebanyak 15 daripada 50 syarikat terbabit telah mengemukakan permohonan mereka.

 

Sehubungan itu katanya, taklimat khas oleh pihak konsultan yang dilantik kepada penender terbabit akan diadakan di Kota Darulnaim esok.

 

"Taklimat diadakan bagi membolehkan mereka mendapat gambaran lebih jelas berhubung jajaran jalan yang akan dibina dan lot-lot yang terlibat dengan pengambilan semula.

 

"Kita akan gazet lot tersebut dan akan memanggil pemiliknya bagi urusan selanjutnya," kata beliau selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini (semalam).

 

Projek lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dirancang kerajaan negeri ekoran projek tersebut disisihkan kerajaan pusat sejak Rancangan Malaysia Ke-5.

 

Bagaimanapun tahun lepas kerajaan pusat mengeluarkan tender bagi membina pakej Kota Bharu-Kadok sejauh 7 km membabitkan kos sebanyak RM200 juta.

 

Sebelum ini sebuah syarikat dari Korea terbabit dengan kerja-kerja awal membina projek berkenaan, bagaimanapun menarik diri kemudiannya.

 

Berikutan itu sebuah syarikat dari Emeriah Arab Bersatu berminat untuk meneruskan projek tersebut.

 

Namun difahamkan kerajaan negeri tidak berminat terhadap pakej tawaran dikemukakan syarikat itu kerana melibatkan kos agak besar.

 

Hanifa juga berkata, pada petang esok penender terbabit akan dibawa lawatan ke tapak pembinaan lebuh raya berkenaan di Machang.

 

Katanya, projek tersebut melibatkan jajaran Kuala Krai-Machang sejauh 30 km bagi fasa pertama. Tawaran tender dijangka berakhir 27 Febuari ini.