Sab12202014

Last updateSab, 20 Dis 2014 4pm

Artikel

Kalimah: PAS Pulau Pinang tidak terlibat demo esok

PAS Negeri Pulau Pinang tidak terlibat dengan sebarang penganjuran demonstrasi aman di hadapan Dewan Sri Pinang jam 9.00 pagi esok.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Saleh Man menjelaskan demikian ketika diminta mengulas sistem pesanan ringkas (SMS) daripada beberapa individu yang mendakwa ahli PAS mengajak semua ahli dan penyokong PAS menyokong keputusan Majlis Syura dan mendesak Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh supaya senyap berhubung isu kalimah Allah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir menasihatkan ahli dan penyokong PAS supaya jangan melayan SMS berkenaan sebaliknya hendaklah mendapatkan maklumat jelas daripada pucuk pimpinan PAS negeri terlebih dahulu.

Beliau tidak mahu isu tersebut disala ertikan dan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Bagi PAS negeri, jelasnya apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak baru-baru ini sudah terjawab segala-galanya. 

"Ahli dan penyokong PAS kena akur apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Kita harap jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengajak ahli dan penyokong PAS berhimpun tanpa usul periksa kerana kita ada cara tersendiri untuk mengatasi masalah tersebut ekoran ketidakfahaman bukan Islam berkaitan isu kalimah Allah," jelasnya.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.