BAB YANG KESEMBILAN
PERHUBUNGAN PAS NEGERI / WILAYAH PERSEKUTUAN


FASAL 40. Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan
      1. Di dalam bab ini perkataan „Perhubungan PAS Negeri‟ adalah dikira telah termasuk Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

      2. Pada tiap-tiap negeri hendaklah ditubuhkan sebuah badan yang dinamakan „Perhubungan PAS Negeri‟ dan „Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan‟ bagi Wilayah Persekutuan.

      3. Adapun ahli-ahli bagi Perhubungan PAS Negeri itu ialah:

        1. Seorang Pesuruhjaya

        2. Tidak lebih daripada tiga orang Timbalan Pesuruhjaya

        3. Seorang Setiausaha

        4. Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setiausaha

        5. Seorang Bendahari

        6. Seorang Ketua Penerangan

        7. Seorang Pengarah Pilihan Raya

        8. Ketua dan Setiausaha Dewan „Ulamak PAS Negeri

        9. Ketua dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri

        10. Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri

        11. Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan

        12. Setiausaha-setiausaha PAS Kawasan

        13. Tidak lebih daripada tujuh orang ahli yang dilantik


      4. Presiden hendaklah melantik seorang daripada ahli PAS untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri bagi tiap-tiap negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dan mereka adalah dengan sendirinya menjadi wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        Adapun Pesuruhjaya PAS Negeri itu akan memegang jawatannya selama dua tahun atau sehingga kepada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan dan boleh berhenti dan diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

      5. Pesuruhjaya PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan tujuh orang Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut Ceraian (3)(b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu.

      6. Pesuruhjaya dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri bolehlah memberhentikan Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan Ahli Perhubungan PAS Negeri yang disebut dalam Ceraian (3)(m) Fasal ini dan berkuasa untuk melantik penggantinya menurut cara ceraian (5) Fasal ini.

      7. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada bila-bila masa mengikut timbangannya berkuasa membubar, menggantung dan mengambilalih pentadbiran Perhubungan PAS Negeri itu, dan pada ketika itu Pesuruhjaya PAS Negeri sahajalah yang berkuasa menjalankan tugas-tugas Perhubungan PAS Negeri dengan panduan terus daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      8. Perhubungan PAS Negeri-negeri hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Hariannya bagi menjalankan tugas-tugas biasa dan menyelesaikan perkara-perkara yang perlu disegerakan demi untuk kelancaran dan kelicinan pentadbiran dan perjalanan Perhubungan PAS Negeri itu.

      9. Adapun anggota-anggota bagi Jawatankuasa Harian PAS Negeri-negeri itu hendaklah terdiri daripada:

        1. Pesuruhjaya

        2. Timbalan-timbalan Pesuruhjaya

        3. Setiausaha

        4. Bendahari

        5. Ketua Penerangan

        6. Pengarah Pilihan Raya
        7. Ketua Dewan „Ulamak PAS Negeri

        8. Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri

        9. Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri


      10. Sekiranya Setiausaha Perhubungan berkeuzuran dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Negeri, maka mana-mana seorang Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Negeri bolehlah diwakilkan secara bersurat dan hadir dalam mesyuarat tersebut.

      11. Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri itu hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, dan seboleh-bolehnya sebelum sidang Dewan Undangan Negeri di negeri itu atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang dari satu pertiga dari jumlah ahli-ahli Perhubungan PAS Negeri itu.

      12. Jika Yang Dipertua dan Setiausaha satu-satu Kawasan PAS itu berhalangan untuk hadir dalam mana-mana mesyuarat Perhubungan PAS Negeri atau dengan sebab-sebab yang lain, maka Timbalan Yang Dipertua dan Penolong Setiausaha PAS Kawasan dengan surat mewakilkannya daripada Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan itu bolehlah hadir, bersuara dan mengundi di dalam mana-mana mesyuarat Perhubungan PAS Negeri itu.

      13. Jawatankuasa Harian PAS Negeri itu hendaklah mengadakan mesyuaratnya seberapa banyak yang boleh dan hendaklah tidak kurang dari enam kali dalam setahun.

      14. Satu perdua daripada Ahli Perhubungan bagi mesyuarat Perhubungan PAS Negeri dan satu perdua daripada Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri bagi mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Negeri yang hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan kedua-dua mesyuarat itu.

      15. Adapun seseorang Ahli Perhubungan PAS Negeri itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.

      16. Adapun Ketua-ketua dan Setiausaha-setiausaha Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri, serta Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan yang disebut dalam Ceraian (3)(h), (i), (j), (k) dan (l) Fasal ini bolehlah diberhentikan jawatannya sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri jika gagal hadir mesyuarat Perhubungan PAS Negeri sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.

      17. Ketua-ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta Yang Dipertua PAS Kawasan yang dilucutkan jawatannya oleh Perhubungan PAS Negeri mengikut Fasal 40(16) tidaklah terlucut jawatan di peringkat Dewan-dewan dan Kawasan masing-masing. Timbalan-timbalan Ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan berkenaan dengan sendirinya menjadi Ahli Perhubungan PAS Negeri menggantikan Ketua-ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri, serta Yang Dipertua PAS Kawasan yang diberhentikan jawatannya.

      18. Kecuali pemegang jawatan yang disebut dalam Ceraian (17) Fasal ini, adapun pemegang jawatan yang dilucutkan jawatannya mengikut Fasal 40(16) dengan sendirinya terlucut jawatan di Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta PAS Kawasan berkenaan. Ketua-ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri hendaklah melantik seorang Setiausaha Dewan baru dari kalangan mana-mana ahli Dewan berkenaan, manakala Yang Dipertua PAS Kawasan hendaklah melantik seorang Setiausaha PAS Kawasan dari kalangan ahli PAS dalam Kawasan berkenaan untuk menggantikan Setiausaha yang dilucutkan jawatannya oleh Perhubungan PAS Negeri.

      19. Ketua-ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri yang dilucutkan jawatannya sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri mengikut Ceraian (16) Fasal ini dengan sendirinya terlucut jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri yang disebut dalam Ceraian (9)(g), (h) dan (i) Fasal ini. Tempat mereka dalam Jawatankuasa Harian PAS Negeri akan digantikan oleh Timbalan masing-masing.

      20. Pengerusi bagi mesyuarat Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, dan jika ia berhalangan atau apa-apa jua sebab yang ia tidak dapat hadir dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut, maka salah seorang daripada Timbalan-timbalannya hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat tersebut.

      21. Jika Ketua-ketua Dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri itu berhalangan atau apa-apa jua sebab yang tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat Perhubungan atau Jawatankuasa Harian PAS Negeri, maka Timbalan Ketua masing-masing bolehlah diwakili secara bersurat untuk hadir, bersuara dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat itu.


FASAL 41. Tugas-tugas Perhubungan PAS Negeri

      1. Pesuruhjaya

        1. Bertanggungjawab sebagai wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mengetuai kesempurnaan perjalanan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS dalam negerinya.

        2. Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Perhubungan PAS Negeri dalam menjalankan tugas masing-masing.

        3. Melantik Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan Ahli Perhubungan PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri menurut Fasal 40(5).

        4. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri.


      2. Timbalan-timbalan Pesuruhjaya

        1. Membantu tugas-tugas Pesuruhjaya PAS Negeri.

        2. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri apabila Pesuruhjaya berhalangan atau tidak hadir.


      3. Setiausaha

        1. Bertanggungjawab secara langsung kepada Pesuruhjaya dan mesyuarat Pehubungan PAS Negeri.

        2. Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Perhubungan PAS Negeri dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Negeri.

        3. Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri.

        4. Menyediakan sebarang penyata atau laporan mengenai kerja dan kemajuan PAS Negeri bagi tujuan Muktamar PAS Pusat dan mesyuarat-mesyuarat Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri.


      4. Penolong Setiausaha

        1. Bertanggungjawab kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.

        2. Membantu Setiausaha Perhubungan PAS Negeri dalam urusan pentadbiran Pejabat PAS Negeri dan penyelaras kepada kerja-kerja dan tugas-tugas yang diperuntukkan kepada Setiausaha Dewan-dewan 'Ulamak, Pemuda dan Muslimat.

        3. Membantu tugas-tugas Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.


      5. Bendahari

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Perhubungan PAS Negeri.

        2. Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan Perhubungan PAS Negeri untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira PAS Negeri dan membentangkan penyata itu kepada mesyuarat terakhir Perhubungan PAS Negeri sebelum daripada Muktamar Tahunan PAS Pusat.

        3. Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Perhubungan PAS Negeri.


      6. Ketua Penerangan

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan PAS Negeri.

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan PAS Negeri.

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Pesuruhjaya dan Badan Perhubungan PAS Negeri atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan PAS Negeri.


      7. Pengarah Pilihan Raya

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihan raya PAS Negeri

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihan raya PAS Negeri

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihan raya


      8. Ahli-ahli Perhubungan

        1. Menubuh dan/atau mengawasi PAS Kawasan-kawasan dalam negerinya serta menyatukan sikap dan pentadbirannya mengikut Perlembagaan PAS, Aturan dan Peraturan dan sebarang aturan parti dari masa ke semasa.

        2. Membantu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menubuhkan Cawangan-cawangan PAS di tempat yang belum ditubuhkan PAS Kawasan mengikut Fasal 24(2).

        3. Menubuhkan Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta membantunya dari masa ke semasa dengan kerjasama Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

        4. Menyedia dan mengemukakan rancangan-rancangan, polisi-polisi dan menentukan sikap serta pendirian Perhubungan PAS Negeri itu yang sesuai dengan dasar dan tujuan PAS kepada ahli-ahli parti yang menjadi pemutus dalam sesebuah negeri yang dikuasai oleh PAS, dan meneliti perjalanan kerajaan selaras dengan kehendak Parti.

        5. Menyatukan sikap ahli-ahli PAS di dalam Dewan Undangan Negeri supaya sebarang tindakan di dalam dan di luar dewan itu dapat dipertanggungjawabkan kepada dasar dan keutuhan parti.

        6. Meneliti dan mengkaji sebarang polisi, rancangan dan sikap kerajaan di negeri yang tidak dikuasai oleh PAS untuk memudahkan sebarang langkah yang diperlu diambil oleh ahli-ahli PAS di dalam atau di luar dewan.

        7. Memberi sepenuh kerjasama kepada Pejabat Agung PAS demi untuk menyatukan sikap dan tindakan dalam segenap bidang.

        8. Mengemukakan pandangan dan cadangan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi kebaikan dan kemajuan PAS.

        9. Membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa kecil atau lajnah-lajnah yang difikirkan patut bagi melaksanakan tugas-tugas tertentu.


FASAL 42. Tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Negeri.

      1. Membuat sebarang keputusan untuk kelicinan perjalanan dan kerja-kerja pentadbiran Pejabat Perhubungan PAS Negeri dan urusan-urusan dalam negeri itu.

      2. Menimbangkan sesuatu hal yang mustahak yang terpaksa disegerakan, dan memaklumkan sebarang tindakan dan keputusan yang diambil kepada mesyuarat Perhubungan PAS Negeri bagi pengesahannya.

      3. Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Negeri selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.

      4. Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Perhubungan PAS Negeri.

      5. Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh jawatankuasa ini mengikut Ceraian (1), (2) dan (3) Fasal ini hendaklah dimaklum dan disahkan oleh Perhubungan PAS Negeri.

 

<Kembali
[Laman Utama]
Seterusnya>