PAS Menentang Sekeras-kerasnya Campurtangan Pihak Ketenteraan Majlis Keselamatan PBB di Libya

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyuarakan penentangan sekeras-kerasnya cadangan campurtangan asing dalam bentuk ketenteraan, terutamanya di atas nama Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menyelesaikan masalah di Libya. Campurtangan pihak ketenteraan di atas nama Majlis Keselamatan itu sekali akan hanya membuka episod krisis perang yang tidak akan berkesudahan dan semakin menekan rakyat Libya, sepertimana campurtangan ketenteraan di Afghanistan dan Iraq yang belum menampakkan penyelesaiannya hingga kini malah akan mewujudkan ketidakstabilan baru di negara Utara Afrika itu.

Penyelesaian krisis di Libya boleh dirungkaikan dengan komitmen berterusan rakyat Libya untuk melakukan suatu perubahan. Dalam masa yang sama OIC dan Liga Arab juga mestilah menunjukkan kewibawaan mereka dengan memainkan peranan sebagai perunding dalam isu tersebut untuk mengenakan tekanan terhadap Muammar Ghadafi supaya berundur.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Rabu, 27 Rabiul Awal 1432 H / 2 Mac 2011