Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Sesi 2019-2021

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Sesi 2019-2021

KABINET BARU DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA SESI 2019-2021

Sepertimana yang telah dimaklumkan, DPPM telah berjaya membentuk organisasi Jawatankuasa Harian DPPM untuk sesi 2019-2021. Pembentukan organisasi DPPM kali ini mencatat sejarah apabila ianya berlaku dalam tempoh 48 jam sejurus selepas peralihan sesi kepimpinan baharu yang dilantik di dalam Muktamar DPPM pada 19-20 Jun baru-baru ini.

Daripada 10 orang ahli jawatankuasa Harian DPPM, 6 orang daripadanya adalah muka baharu yang segar, mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan yang hebat, kompeten dan berpengalaman luas di dalam skop tugas masing-masing. Saya yakin kombinasi yang kami tawarkan ini menjanjikan gerak kerja yang dinamik dan berwawasan bagi menggalas tanggungjawab memperjuang agenda anak muda Malaysia.

Tugas besar sebagai Setiausaha DPPM merangkap Ketua Sektor Pengurusan sesi ini diamanahkan kepada PU Akram Ikrami bin Dato’ Taib Azamudden. Beliau yang merupakan AJK DPPM sesi yang lalu dipilih oleh mesyuarat berdasarkan keupayaan dan kebolehan dalam mengurus dan mentadbir organisasi, selain berpengalaman sebagai jurulatih (trainer) di dalam bidang yang sama. Tugas beliau mengurus organisasi digandingkan bersama Sdr Muhd Khidhir Bin Prof Datuk Dr Izaidin selaku Penolong Setiausaha 1, portfolio yang sama beliau galas ketika sesi sebelum ini. Bagi Penolong Setiausaha 2 pula, kami melantik tokoh muda dari negeri Kedah iaitu Ust Mohd Aizat Zakaria. Pengalaman beliau sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah selama beberapa penggal, amat kami perlukan. Selain itu, tokoh mahasiswa dan anak muda yang sedang melonjak naik iaitu Sdr Muhammad Faizzuddin Mohd Zai pula diberi tugas sebagai Penolong Setiausaha 3.

Untuk jawatan Bendahari pula, kami bersetuju melantik Ust Roslan Md Esa. Selain pernah menjawat jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan AJK DPPM sesi lalu, pengalaman beliau membangunkan dan menguruskan Ma’had Tahfiz Al-Abrar di Bentong amat kami perlukan untuk meneruskan legasi cemerlang Bendahari sebelum ini. Beliau juga merupakan Ketua Sektor Kewangan dan Ekonomi sesi ini.

Bagi mendepani cabaran media sosial yang sengit, Sdr Abdul Malik Ab Razak dipilih menjawat jawatan Ketua Penerangan, merangkap Ketua Sektor Komunikasi Strategik. Beliau merupakan tokoh mahasiswa dan anak muda yang diberi kepercayaan menjadi Setiausaha Akhbar kepada Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS. Beliau juga merupakan AJK DPPM sesi yang lalu.

Sdr Mohd Al Ghazali Abu Bakar pula diberikan tugas mengetuai jentera pilihan raya DPPM sebagai Pengarah Pilihan Raya. Pengalaman beliau sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sesi ini dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya DPPM sesi lalu adalah merupakan faktor utama mengapa beliau dipilih menggalas tugas ini.

Selain itu, sebagai bukti perhatian serius terhadap bidang pendidikan di dalam parti, kami bersetuju mengangkat Ketua Sektor Pendidikan sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Harian DPPM. Tugas mencabar ini diberikan kepada seorang jurutera kanan kelahiran Sarawak yang lebih dikenali sebagai Lebai Engineer, Sdr Muhtar Suhaili, Bendahari DPPM sebelum ini.

Dengan pelantikan ini, lengkaplah kesemua ketua kepada tujuh (7) sektor di dalam DPPM. Ketua Pemuda, Timbalan & Naib Ketua Pemuda masing-masing mengetuai Sektor Politik, Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat, serta Sektor Sumber Manusia dan Latihan. Manakala 4 sektor yang lain iaitu Sektor Pengurusan, diketuai Setiausaha; Sektor Kewangan dan Ekonomi diketuai Bendahari; Sektor Komunikasi Strategik; dan Sektor Pendidikan.

Untuk makluman, proses pembentukan dan pelantikan portfolio-portfolio lain di bawah kesemua tujuh sektor ini juga telah hampir sempurna dan akan umumkan dalam masa terdekat setelah ianya selesai dan lengkap sepenuhnya.

Pembentukan segera kabinet DPPM sesi baharu ini membuktikan bahawa PAS tidak ketandusan pemimpin pelapis muda. Bahkan, DPPM mempunyai ramai calon berbakat tinggi (pool of high potential talent) yang sentiasa dilatih dari masa ke semasa. Ia juga menunjukkan kesediaan PAS untuk memimpin anak muda Malaysia bagi bersama-sama membangunkan negara yang sejahtera.

Saya menyeru anak muda Malaysia bersama dengan PAS dalam membawa aspirasi kita sebagai anak muda yang bertanggungjawab mencorak masa depan negara.

IR. HJ KHAIRIL NIZAM BIN KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia sesi 2019-2021

#DemiIslam
#IslamMemimpinPerpaduan

Leave a comment