Kha02232017

Last updateKha, 23 Feb 2017 10am

Back Utama Bicara Presiden Berdepan Secara Damai

Berdepan Secara Damai

KUALA SELANGOR: Pendekatan pilihan raya bertujuan mendapatkan undi dengan sebanyak-banyaknya di mana PAS memilih demokrasi Barat itu sebagai ‘muwajahah silmiyah’ yakni berdepan secara damai kerana perdamaian adalah muqaddimah kepada kerja-kerja Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, secara khusus dalam kerja Islam di tanah air umat Islam sendiri, pendekatan damai hendaklah diutamakan sebagaimana yang dilakukan oleh semua Nabi-nabi dan Rasul AS.

“Maka PAS memilih perjuangan melalui pilihan raya. Perjuangan berdakwah, bukan berdakwah sebarang dakwah, sebagaimana dakwah yang difahami oleh orang-orang dakwah yang tidak faham apa dia Islam.

“Dakwah yang di bawa oleh Nabi dan Rasul AS dan Nabi Muhammad SAW mempunyai matlamat sehingga memerintah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT,” ujarnya pada Ijtimak Pilihan Raya PAS Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini 10 Januari lalu.

Menurut beliau, realitinya dakwah Islam mesti menghadapi cabaran dan pertembungan di kalangan manusia pelbagai agama, bangsa dan idealogi yang bertarung di antara satu sama lain.

Tegasnya, pertarungan yang terjadi tidak akan selesai melainkan setelah Islam memerintah negara kerana apabila pihak lain berkuasa, mereka bertindak zalim ke atas pihak lain.

“Masalah kita sekarang bagaimana kita nak suruh orang sokong kita melalui pendekatan pilihan raya? Pendekatan pilihan raya untuk mendapat undi yang sebanyak-banyaknya. Bukan untuk menghalau manusia sebanyak-banyaknya.

“Dengan sebab itu, saya menegaskan bahawa kita bukan sahaja mengambil pendekatan demokrasi ‘muwajahah silmiyah’ berdepan secara damai, dalam masa yang sama kita membuka pintu besar dan pintu jendela kita untuk berdialog dengan orang lain.

“Sampaikan mesej kita, bukan (tunggu) orang nak datang kepada kita, kita jemput masuk. Sebagaimana Nabi kita Muhammad SAW, menghantar mesej kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat, kepada raja-raja, dalam masa yang sama, membuka pintu Masjid Nabawi, kepada utusan-utusan bukan Islam.

“Sila datang masuk untuk perdengarkan kepada mereka apa dia Islam. Bukan bermakna buka pintu, kita masuk orang lain, tidak. Bukan makna buka pintu, kita lari dari perjuangan, tidak. Itu menyeleweng, itu tak betul,” terangnya.

Jelas beliau lagi, Islam membuka pintu berdialog bertujuan menunjukkan kebaikan kepada semua, sebagaimana apabila PAS sebut mahu berdamai dengan Umno, bukan bermakna PAS akan masuk Umno.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa PAS tidak boleh menang pilihan raya dengan sesama ahli-ahli sahaja, tetapi mesti dengan kejayaan mengajak orang lain mendokong perjuangan PAS.

“Dengan sebab itu, polisi menutup pintu, polisi keras, polisi ‘muwajahah’ secara tegang, gagal. Kita menyaksikan Arab Spring, musim bunga yang tidak berbuah, kenapa? Kenapa berbunga sahaja? Kerana mengambil pendekatan demonstrasi tanpa batas-batas yang betul menyebabkan orang lain memintas kebangkitan rakyat.

“Ini sebagai sering berlaku dalam banyak perjuangan Islam di dunia ini yang memulakan menentang penjajah ialah kumpulan Islam. Bila menang, orang lain ambil alih. Di Indonesia, yang memulakan perjuangan menentang Belanda (adalah) Islam. Tapi bila menang Sukarno. Nak jatuhkan Sukarno, Islam lawan Komunis, Islam lawan Suharto, Islam boleh, tapi memerintah orang lain," peringat beliau.

Oleh itu katanya, perlu stategi yang betul dalam menangani perjuangan dengan mengenal keterbukaan, batas-batas serta melakukan muhasabah.

Terang beliau, rata-rata orang Melayu termasuk yang mengikuti PAS, menyokong kerana undi protes dan bukan kerana memahami politik Islam.

Sedangkan tegasnya, urusan politik dan pemerintahan itu mestilah diserahkan secara amanah kepada ahli yang dapat menunaikannya.

Malah katanya, sebagaimana Nabi-Nabi diperintah oleh Allah kepada kaum tertentu, begitulah juga dalam menyusun kempen agar sesuai dengan tempatnya.

“Jangan orang yang berpengalaman laut, pengalaman dia dengan nelayan, tak tahu tentang Felda, berceramah dekat Felda, ceramah tentang nelayan dekat Felda. Ceramah Felda dekat nelayan, jangan. Letakkan orang kena pada tempatnya, perkara yang berkait dengan akidah, ahli dalam akidah. Berkait dengan ekonomi, (perlu) ahlinya.

“Jangan kita bercakap mengarut, tak boleh. Mesti meletakkan orang kena pada tempatnya. Penulisan yang kena pada tempatnya dan bercakap dengan bahasa yang difahami, bukan bahasa yang tidak difahami. Gunakan uslub yang difahami oleh masyarakat. Jangan Uslub yang tidak difahami oleh masyarakat.

“Ada orang terlalu akademik ucapannya, di tengah masyarakat yang tak tinggi ilmunya. Ini tidak bijak, walaupun dia orang bijak tetapi tak bijak, kerana bercakap tidak kena dengan sasaran dia. Mesti bahasa yang difahami oleh bahasa yang mereka nak ucap, nak sampaikan mesej.

“Gunakan bahasa-bahasa yang mudah, gunakan perkataan yang mudah, perkataan yang mudah difahami dan diterima sehingga melekat dalam fikiran menjana akidah perjuangan bersama dengan kita,” nasihatnya.