Sab03252017

Last updateSab, 25 Mac 2017 10am

Doa Orang Berpuasa DiTerima

 

Catatan 6

Doa Orang Berpuasa DiTerima

Nabi saw bersabda:

" 3 doa yang diterima; doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir"
(Hadis riwayat Tabarani dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)

Seorang yang berpuasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk diterima segala doa dan hajatnya khususnya ketika berbuka.

Doa adalah permohonan si hamba kepada Rabb yang Maha pencipta dan Maha Pemberi. Doa adalah lambang perhambaan diri seorang hamba kepada Rabbnya.

Tiada saat dan detik yang berlalu dalam kehidupan melainkan kita sangat bergantung kepada Allah. Kita bergantung nafas kepada Allah. Kita bergantung makan dan minum kepada Allah. Kita sangat bergantung kepada Allah ketika memandu di jalan raya mengharapkan tiada kemalangan menimpa. Kita bergantung rezki kepada Allah. Kita mengharapkan agar diberikan kesihatan, ketaatan kepada Allah, keselamatan daripada bala bencana, keamanan negara, kebahagiaan hidup di dunia apatah lagi kejayaan dan kebahagiaan di hari Akhirat.

Menurut Imam al-Munawi; puasa yang diterima doanya ialah puasa yang terpelihara segala anggota daripada perlakuan maksiat. Doanya diterima kerana jasadnya menjadi suci apabila berjaya menghadapi segala hawa nafsunya.

Dalam beberapa riwayat hadis yang lemah, doa yang diterima dikaitkan dengan khususnya waktu berbuka.

Maka, marilah kita memelihara puasa untuk menjadi puasa yang terbaik seterusnya banyakkan berdoa khususnya di waktu hampir berbuka. Moga doa kita segera diterima oleh Allah.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Khamis 18 Ramadhan 1437 h / 23 Jun 2016

Masjid Haram, Makkah al-Mukarramah jam 1 tengahari.

www.drtakiri.blogspot.com