BAB YANG KESEBELAS
KEWANGAN DAN PEMEGANG AMANAH


FASAL 75. Sumber-sumber Kewangan

      1. Adapun sumber-sumber kewangan PAS ialah dari :

        1. Bayaran permulaan masuk menjadi ahli.

        2. Yuran tahunan ahli

        3. Derma-derma dan wakaf

        4. Lain-lain pendapatan yang halal pada sisi undang-undang negara dan tidak berlawanan dengan hukum-hukum dan ajaran Islam serta tidak merugikan perjuangan PAS.


      2. Bayaran permulaan masuk menjadi ahli

        1. Seseorang ahli PAS itu hendaklah membayar kepada PAS melalui Cawangan dan/atau Kawasan PAS atau terus ke Pejabat Agung suatu bayaran masuk menjadi ahli sebanyak RM 2.00 atau sebanyak mana yang ditetapkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dari masa ke semasa, dengan syarat mendapat kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

        2. Empat puluh peratus wang bayaran masuk menjadi ahli itu adalah terserah kepada penggunaan Pejabat Agung PAS, dua puluh peratus kepada Badan Perhubungan PAS Negeri, dua puluh peratus kepada PAS Kawasan dan dua puluh peratus yang baki itu adalah kepada PAS Cawangan.

        1. Tiap-tiap ahli PAS hendaklah membayar yuran tahunannya sebanyak RM3.00 atau yuran sekaligus untuk seumur hidupnya sebanyak RM100.00 kepada PAS Kawasan-kawasan melalui Cawangan-cawangan atau terus kepada PAS Kawasan atau Pejabat Agung sebanyak mana yang ditetapkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum Mesyuarat Agung PAS Cawangan atau Kawasannya atau sebelum Muktamar Tahunan PAS jika ianya dibayar terus ke Pejabat Agung PAS.

        2. Tiap-tiap ahli PAS yang membayar yuran sekaligus untuk seumur hidup tidak lagi perlu membayar yuran tahunan.

        3. Ahli-ahli yang berdaftar terus hendaklah membayar terus yuran tahunannya kepada Pejabat Agung PAS.

        4. PAS Kawasan hendaklah membayar yuran tetap tahunan (yuran tetap PAS Kawasan) kepada Pejabat Agung PAS mengikut jumlah ahli yang ada di dalam kawasannya bagi tahun itu sebanyak lima puluh peratus daripada jumlah yuran tahunan yang ditetapkan bagi tiap-tiap ahli. Badan Perhubungan PAS Negeri adalah berhak mendapat peruntukan yuran tetap tahunan PAS Kawasan yang berbayar kepada Pejabat Agung itu sebanyak sepuluh peratus.

        5. Cawangan-cawangan adalah berhak mendapat peruntukan wang yuran tahunan ahli-ahli cawangannya daripada kawasan-kawasan sebanyak dua puluh peratus.

        6. Tiap-tiap seorang yang menjadi ahli PAS hendaklah menjelaskan segala yuran-yurannya sebelum penghujung tahun kewangan PAS.

        7. Yuran sekaligus yang dibayar oleh seorang ahli PAS hendaklah diperuntukan sebanyak empat puluh peratus kepada Pejabat Agung PAS, sepuluh peratus kepada Badan Perhubungan PAS Negeri, tiga puluh peratus kepada PAS Kawasan dan dua puluh peratus kepada PAS Cawangan.


FASAL 76. Peraturan Kewangan

      1. Adapun tahun kewangan PAS itu ialah dari 1hb Januari hingga 31hb Disember pada tiap-tiap tahun.

      2. Hendaklah diadakan sebuah Jawatankuasa Kecil yang dinamakan Jawatankuasa Kewangan:

        1. Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari PAS Pusat hendaklah dengan sendirinya menjadi ahli Jawatankuasa Kewangan itu dengan Presiden sebagai Pengerusinya.

        2. Jawatankuasa Kewangan itu hendaklah bertanggungjawab bagi menyediakan rancangan-rancangan bagi memperbaiki, menambah dan meneguhkan kewangan PAS dari masa ke semasa dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil bagi perlaksanaan dan kejayaannya.

        3. Jawatankuasa Kewangan itu hendaklah bertanggungjawab atas penyediaan sebarang penyata kewangan untuk dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi disahkan, setelah diperiksa oleh pemeriksa Kira-kira.

        4. Jawatankuasa ini adalah berkuasa meluluskan tiap-tiap perbelanjaan yang tidak melebihi daripada RM 30,000.00. Adapun tiap-tiap perbelanjaan yang melebihi daripada RM 30,000.00, maka ia hendaklah diluluskan mengikut kehendak-kehendak terkandung dalam Fasal 76(6).


      3. Kuasa Menandatangani Cek

        1. Wang Pejabat Agung hendaklah disimpan dalam mana-mana bank yang ada mengamalkan sistem perbankan Islam yang dipersetujui mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari PAS Pusat adalah berkuasa menandatangani cek-cek Pejabat Agung. Tandatangan dua orang dari pegawai ini adalah sah dengan syarat seorang daripadanya ialah Bendahari PAS Pusat.

        2. Wang Perhubungan PAS Negeri bolehlah disimpan di dalam mana-mana bank yang ada mengamalkan sistem perbankan Islam yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Harian PAS Negeri. Pesuruhjaya atau seorang Timbalannya, mengikut mana yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Perhubungan, Setiausaha Perhubungan dan Bendahari Perhubungan adalah berkuasa menandatangani cek-cek Perhubungan Negeri, tandatangan dua orang dari pegawai ini adalah sah dengan syarat seorang daripadanya ialah Bendahari Perhubungan.

        3. Adapun berkenaan dengan wang PAS Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan, Dewan-dewan „Ulamak Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Negeri dan Kawasan hendaklah disimpan di mana-mana bank yang ada mengamalkan sistem perbankan Islam yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja masing-masing, demikian juga berkenaan dengan kuasa menandatangani cek-cek masing-masing adalah sama kaedahnya dengan Ceraian (3)(a) dan (3)(b) Fasal ini mengikut mana yang sesuai.


      4. Wang Tunai Di Tangan

        1. Bendahari PAS Pusat dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM 1,000.00. Bendahari Perhubungan Negeri, Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri masing-masing dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM500.00. Segala perbelanjaan yang lebih dari itu hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Jawatankusa Harian masing-masing.

        2. Bendahari PAS Kawasan, bendahari Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM300.00. Sebarang perbelanjaan yang lebih dari itu hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerja masing-masing.

        3. Bendahari PAS Cawangan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM200.00 dan segala perbelanjaan yang lebih dari itu hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu.

        4. Setiausaha Agung, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Setiausaha Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM500.00 untuk perbelanjaan yang tidak ditetapkan.

        5. Setiausaha PAS Kawasan, Setiausaha Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan dibenar menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM300.00 untuk perbelanjaan yang tidak ditetapkan.

        6. Setiausaha PAS Cawangan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangannya tidak lebih dari RM200.00 untuk perbelanjaan yang tidak ditetapkan.


      5. Bendahari PAS Pusat sahaja yang berhak menerima sebarang wang PAS yang melalui Pejabat Agung dan mengeluarkan resit kerananya, jika ketiadaan Bendahari PAS Pusat, maka Setiausaha Agung atau mana-mana orang yang diberi kuasa dengan bersurat olehnya boleh menggantikannya bagi pihaknya. Demikianlah juga dengan sebarang wang yang dibayar kepada Badan Perhubungan PAS Negeri, PAS Kawasan, PAS Cawangan, Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Negeri dan Kawasan yang berhak menerima dan mengeluarkan resit kerananya ialah Bendahari-bendahari masing-masing. Dan jika ketiadaan Bendahari-bendahari itu, maka Setiausaha-setiausaha atau mana-mana orang yang diberi kuasa dengan bersurat olehnya bolehlah menggantikan bagi pihaknya.

      6. Selain dari kuasa-kuasa penyimpanan wang tunai seperti dalam Fasal 76(4)(a),(b),(c),(d),(e) dan (f), kecuali bagi PAS Cawangan, setiap perbelanjaan yang lebih RM30,000.00 hendaklah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kerja masing-masing. Bagi PAS Cawangan, setiap perbelanjaan melebihi RM5,000.00 hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerjanya.


FASAL 77. Tuntutan

Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja PAS berhak memajukan sebarang tuntutan kewangan dan sebagainya kepada sesiapa juapun yang berhak dengan PAS dengan apa jua cara yang munasabah.


FASAL 78. Memegang Amanah

      1. PAS bolehlah memiliki harta benda seperti tanah, rumah, bangunan dan lain-lain harta. Kecuali wang tunai di tangan atau disimpan di bank, hendaklah dipegang oleh Pemegang Amanah yang terdiri daripada tidak lebih dari lima orang bagi peringkat Pusat dan bagi peringkat Negeri hendaklah dilantik tidak lebih dari lima orang sebagai Pemegang Amanah. Bagi PAS Kawasan, tidak lebih empat orang boleh dilantik sebagai Pemegang Amanah.

      2. Pemegang Amanah PAS Pusat hendaklah dilantik daripada ahli-ahli PAS oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pemegang Amanah PAS Negeri hendaklah dilantik daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu oleh mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri itu, Pemegang Amanah PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu dari kalangan ahli-ahli PAS dalam kawasan berkenaan.

      3. Seseorang Pemegang Amanah itu hendaklah memegang jawatannya sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau Muktamar Tahunan PAS atau mesyuarat Perhubungan PAS Negeri bagi sesebuah negeri, atau mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan bagi sesebuah kawasan dengan apa-apa sebab sekalipun. Maka keberhentian orang yang menjadi Pemegang Amanah itu hendaklah dimaklumkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan kemudian daripada keberhentian itu supaya diangkat gantinya, dan bagi peringkat negeri hendaklah dimaklumkan kepada mesyuarat Perhubungan PAS Negeri supaya diangkat gantinya, dan bagi peringkat kawasan hendaklah dimaklumkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan supaya diangkat gantinya.

      4. Semua harta-harta tak alih, yang dimiliki oleh PAS, Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat hendaklah dipegang oleh Pemegang Amanah PAS Pusat. Adapun harta-harta tak alih, yang dimiliki oleh Badan Perhubungan PAS Negeri, Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri, maka hendaklah dipegang di bawah kuasa pemegang Amanah PAS Negeri, manakala harta tak alih yang dimiliki oleh PAS Kawasan, Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan dan Cawangan-cawangan PAS dalam Kawasan itu, maka hendaklah dipegang di bawah kuasa Pemegang Amanah PAS Kawasan itu.


FASAL 79. Pemeriksa Kira-Kira

      1. Tidak kurang dua orang Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat itu hendaklah dipilih dan dilantik akan dia di dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau mana-mana Muktamar Tahunannya yang ada pemilihan.

      2. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bolehlah memilih dan melantik mana-mana Juruaudit bertauliah menjadi Pemeriksa Kira-Kira luar bagi Pejabat Agung.

      3. Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Badan Perhubungan PAS Negeri itu.

      4. Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira PAS Kawasan itu.

      5. Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung PAS Cawangan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira PAS Cawangan itu.

      6. Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Dewan-dewan itu di peringkat Pusat dan Negeri.

      7. Tidak kurang daripada dua orang hendaklah juga dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Dewan-Dewan itu.

      8. Semua pemilihan dan perlantikan yang disebutkan dalam Ceraian (3) hingga (7) di atas hendaklah dibuat pada tiap-tiap dua tahun sekali.

      9. Seorang Pemeriksa Kira-Kira tidaklah boleh menjawat jawatan lain dalam peringkat PAS yang memilih dan melantiknya. Sekiranya ia menerima berhenti atau diberhentikan atas apa-apa jua sebab sekalipun, maka hendaklah diangkat gantinya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja di peringkat PAS yang memilih dan melantik akan dia.

      10. Adapun bagi Perhubungan PAS Negeri, PAS Kawasan, Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri bolehlah, dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian bagi Perhubungan PAS Negeri dan Jawatankuasa Kerja bagi lain-lain, memilih dan melantik mana-mana Juruaudit bertauliah menjadi Pemeriksa Kira-Kira luarnya masing-masing.

 

<Kembali
[Laman Utama]
Seterusnya>