BAB YANG KEDUA BELAS
LAIN-LAIN HAL


FASAL 80. Bendera PAS

      1. Adapun Bendera PAS ialah berwarna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya (merah-putih) dan di pangkalnya sebelah atas terletak bulatan hijau.

      2. Ukuran Bendera PAS itu ialah sebesar 5 X 7 sama ada dengan ukuran inci atau kaki atau lain-lain.

      3. Bendera PAS bolehlah digunakan dalam setiap perayaan/perjumpaan yang dianjurkan oleh PAS atau sebarang perayaan yang disertai oleh PAS.

      4. Bendera PAS bolehlah digunakan sebagai latar belakang dalam setiap majlis-majlis anjuran PAS.

      5. Bendera PAS bolehlah digunakan pada pejabat-pejabat PAS, rumah-rumah ahli PAS dan pada kenderaan ahli-ahli PAS pada semua peringkat.

      6. Bendera PAS bolehlah digunakan pada masa-masa pilihan raya.


FASAL 81. Lambang PAS

Adapun Lambang atau Simbol PAS untuk pilihan raya ialah Bulatan Putih dengan berlatar belakang warna hijau, dan dalam keadaan tertentu latar belakang boleh juga digunakan warna hitam dengan memakai ukuran 3 X 4 iaitu 3 lintang dan 4 bujur atau segi empat sama dalam apa-apa ukuran, atau apa-apa simbol yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan serta Suruhanjaya Pilihan Raya.


FASAL 82. Tatatertib PAS

      1. Semua ahli-ahli PAS hendaklah

        1. Taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS.

        2. Taat dan patuh kepada Perlembagaan Parti serta Aturan dan Peraturannya.

        3. Taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti.

        4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya yang boleh.

        5. Menjaga dengan cermatnya segala rahsia-rahsia Parti.

        6. Mengamal akhlak Islam.

        7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Parti.

        8. Menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam bagi dirinya di dalam negara ini.


      2. Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

      3. Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah terdiri dari:

        1. Seorang Pengerusi

        2. Seorang Setiausaha, dan

        3. Tiga orang ahli Jawatankuasa


      4. Ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib yang disebut dalam Ceraian 3(a), (b) dan (c) Fasal ini hendaklah dari kalangan ahli-ahli PAS yang berkelayakan pada pandangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

      5. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, menurut kuasa yang diperuntukan kepadanya dalam Fasal 26(9)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa.

      6. Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah:

        1. Memberi amaran

        2. Melucutkan hak-hak dalam parti

        3. Menggantungkan keahlian

        4. Memecat dari menjadi ahli


      7. Jawatankuasa Tatatertib yang mengenakan tindakan tatatertib mengikut Ceraian (6)(b) dan (c) Fasal ini hendaklah menetapkan satu tempoh tertentu mengikut kesesuaian pada pandangan Jawatankuasa Tatatertib terhadap tindakan tatatertib yang diambil.

      8. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa jua cara yang difikirkan munasabah hendaklah menimbang dan memutuskan rayuan mana-mana ahli PAS yang telah dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpuashati dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dengan syarat ahli tersebut hendaklah mengemukakan rayuannya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Setiausaha Agung dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusannya yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib mengikut Ceraian (6) Fasal ini.

      9. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana ahli PAS yang dianggap melanggar Ceraian (1) Fasal ini.


FASAL 83. Rayuan Tatatertib

      1. Ahli-ahli PAS yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Fasal 82 Perlembagaan ini yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib bolehlah mengemukakan rayuan bersurat kepada Setiausaha Agung PAS dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Tatatertib untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      2. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengikut Fasal 26(9)(e) dan 82(8) Perlembagaan ini berkuasa untuk mendengar semula rayuan tatatertib PAS.

      3. Dengan mengabaikan Ceraian (2) Fasal ini, ahli-ahli yang dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(9) Perlembagaan ini hendaklah mengemukakan rayuan terus kepada Majlis Syura „Ulamak dalam tempoh 30 hari.

      4. Ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan rayuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat boleh membuat rayuan semula dengan mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Syura „Ulamak dalam tempoh 15 hari daripada keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dipertimbangkan oleh Majlis Syura „Ulamak.

      5. Majlis Syura „Ulamak adalah berkuasa untuk mendengar rayuan bagi ahli-ahli yang dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(9) Perlembagaan ini dan rayuan semula mengikut Ceraian (4) Fasal ini. Keputusan dan tindakan Majlis Syura „Ulamak itu adalah muktamad.


FASAL 84. Peraturan Muktamar dan Mesyuarat

      1. Adapun peraturan Muktamar dan Mesyuarat Agung bagi Muktamar Tahunan dan Mesyuarat Agung PAS adalah disifatkan seolah-olahnya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan ini dan mempunyai kekuatan sebagaimana Perlembagaan juga.

      2. Peraturan Muktamar dan Mesyuarat Agung yang baru bolehlah diperbuat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bila dikehendaki ataupun peraturan-peraturan Muktamar dan Mesyuarat Agung yang telah ada bolehlah dipinda atau diubah atau dimansuhkan dengan satu ketetapan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      3. Sebarang pertikaian atau perselisihan faham dan pendapat di atas semua Peraturan Muktamar dan Mesyuarat Agung yang disebut dalam Fasal ini hendaklah dirujuk kepada Majlis Syura PAS mengikut Fasal 88(1).


FASAL 85. Aturan dan Peraturan PAS

      1. Adapun sebarang Aturan dan Peraturan bagi mana-mana organisasi dalam PAS adalah disifatkan seolah-olah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan ini dan mempunyai kekuatan sebagaimana Perlembagaan juga.

      2. Apa-apa Aturan dan Peraturan bagi mengemaskan mana-mana organisasi di semua peringkat PAS bolehlah diperbuat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan boleh dipinda atau diubah atau dimansuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan ini.

      3. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa untuk membuat apa-apa kaedah, tatacara, prosedur dan lain-lain termasuk pekeliling yang menjadi arahan amalan, dan ia hendaklah disifatkan sebagai sebahagian daripada Aturan dan Peraturan PAS dan boleh dipinda atau diubah atau dimansuhkan mengikut kaedah Ceraian (2) Fasal ini.

      4. Adapun mana-mana bahagian di dalam mana-mana Aturan dan Peraturan yang dibuat mengikut Fasal 84 dan Fasal 85 Perlembagaan ini yang bertentangan dengan Perlembagaan ini, maka ia terbatal dengan sendirinya setakat mana ia bertentangan.

      5. Sebarang pertikaian atau perselisihan faham dan pendapat di atas semua aturan dan peraturan yang disebut dalam Fasal ini hendaklah dirujuk kepada Majlis Syura „Ulamak mengikut Fasal 88(1).


FASAL 86. Meminda Perlembagaan PAS

      1. Adapun Perlembagaan PAS ini atau sebarang bahagian daripadanya bolehlah dipinda atau dibatalkan atau ditambahkan dengan ketetapan yang dipersetujukan oleh dua pertiga suara yang hadir dalam Muktamar Tahunan PAS.

      2. Suatu ketetapan yang mengandungi sebarang syor atau cadangan hendaklah meminda atau membatalkan atau mengubahkan atau menambahkan kepada Perlembagaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung sebagaimana yang disyaratkan di dalam Peraturan Muktamar PAS.

      3. Sebarang pindaan, perubahan dan sebarang perkara yang berkait dengan Perlembagaan ini hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, dan tidak boleh dijalankan melainkan sesudah mendapat pengakuan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 87. Cara Memansuhkan PAS

      1. PAS ini tidaklah boleh dimansuh atau dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripada ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

      2. Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang baki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu.

      3. Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu.


FASAL 88. Lain-lain Perkara

      1. Segala perkara yang berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat di atas tafsiran Perlembagaan ini, serta Aturan dan Peraturan yang diperbuat mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Perlembagaan ini hendaklah dirujukkan kepada Majlis Syura „Ulamak dan sebarang keputusannya adalah muktamad, jika tidak diubah oleh Muktamar.

      2. Majlis Syura „Ulamak adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar.

      3. Sebarang pertikaian dan perselisihan di dalam PAS, Badan-badan dan organisasi-organisasi serta Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil/Lajnah-Lajnah yang dibentuk mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini tidak boleh dibawa ke Mahkamah.

      4. PAS boleh mendakwa atau didakwa di atas nama mana-mana seorang ahlinya yang diisytiharkan kepada Pendaftar Pertubuhan dan orang itu didaftarkan oleh PAS sebagai Pegawai PAS bagi tujuan tersebut, dan, jika sekiranya tiada orang tersebut didaftarkan, maka ia menjadi sah bagi mana-mana orang yang mempunyai tuntutan atau hak ke atas PAS mengambil tindakan ke atas mana-mana Jawatankuasa Kerja PAS ketika itu dan begitulah juga bagi pihak PAS dengan apa jua cara yang munasabah.

      5. Penasihat, pegawai dan kakitangan yang menjalankan tugas eksekutif PAS di semua peringkat hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia.

 

<Kembali
Laman Utama>