BAB YANG KEEMPAT
DARI HAL AHLI-AHLI

FASAL 10. Ahli PAS

Hanya satu sahaja jenis keahlian dalam PAS, iaitu dinamakan „Ahli PAS‟.


FASAL 11. Syarat-syarat Menjadi Ahli

Adapun syarat untuk menjadi seorang ahli PAS itu ialah:

  1. Warganegara Malaysia.

  2. Beragama Islam

  3. ‘Aqil baligh menurut Hukum Syara’.

  4. Mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan Parti dari masa ke semasa.

  5. Seorang pelajar Universiti atau kolej Universiti tidak boleh menjadi ahli tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Censelor/Rektor Universiti berkenaan.


FASAL 12. Permohonan Menjadi Ahli

      1. Seseorang yang hendak menjadi ahli PAS mestilah menghantar permohonan kepada Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli, kecuali jika ada sesuatu sebab yang munasabah maka bolehlah dilakukan seperti berikut:

        1. Di mana-mana tempat yang tidak ada cawangan hendaklah dihantar terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun;

        2. Di mana-mana tempat yang tidak ada cawangan dan/atau Kawasan hendaklah ia menghantar terus permohonan kepada Setiausaha Agung PAS bagi menjadi ahli PAS yang berdaftar terus.

        3. Dengan tidak mengendahkan apapun yang terkandung dalam butiran-butiran di atas dalam Fasal ini, maka Setiausaha Agung dalam keadaan dan sebab-sebab yang tertentu bolehlah menerima sebarang permohonan menjadi ahli yang berdaftar terus ke Pejabat Agung.

      2.  Sebarang permohonan menjadi ahli PAS hendaklah menggunakan borang yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

      3. Tiap-tiap sekeping borang itu hendaklah ditandatangani atau dengan apa-apa keterangan oleh permohonan itu, dan juga oleh seorang ahli yang menjadi pencadang dan seorang ahli yang menjadi penyokongnya. Kedua-dua orang yang menjadi pencadang dan penyokong itu hendaklah tahu benar-benar akan orang yang memohon itu.


FASAL 13. Memilih Ahli

    1.  
      1. Setiausaha Cawangan hendaklah mengangkatkan semua permohonan menjadi ahli kepada Setiausaha Kawasan dengan memberikan keterangan-keterangan seberapa yang boleh tentang pemohon-pemohon yang berkenaan.

      2. Setiausaha Kawasan hendaklah mengangkatkan semua permohonan menjadi ahli, samada dari cawangan-cawangan atau terus kepadanya, kepada Setiausaha Agung dengan disertakan keterangan-keterangan seberapa yang boleh tentang pemohon-pemohon yang berkenaan.

      3. Setiausaha Agung hendaklah mengemukakan semua permohonan menjadi ahli PAS dari kawasan-kawasan dan/atau ahli berdaftar terus kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dengan seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan-permohonan itu.


    2. Mana-mana permohonan menjadi ahli yang telah ditolak tidaklah boleh mengulangi permohonan melainkan selepas enam bulan dari tarikh permohonan itu ditolak.


FASAL 14. Sijil Ahli

      1. Tiap-tiap seseorang ahli PAS itu hendaklah mempunyai sekeping Sijil Akuan menjadi ahli PAS.

      2. Sijil-sijil hendaklah dikeluarkan oleh Pejabat Agung PAS melalui Setiausaha PAS Kawasan dan Cawangan atau terus kepada ahli bagi ahli-ahli yang berdaftar terus.

      3. Sijil yang dikeluarkan kepada ahli-ahli itu hendaklah ditandatangani oleh Presiden PAS, Setiausaha Agung dan Setiausaha PAS Kawasan di tempat yang ada kawasan, dan hendaklah mempunyai cop mohor parti.

      4. Seseorang ahli itu tidaklah diakui menjadi ahli PAS sekiranya tiada atau sebelum daripada mempunyai sijil itu.

      5. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa membuat Aturan dan Peraturan berkenaan dengan mengadakan sijil-sijil ahli PAS dan mengeluarkan serta menggunakan ataupun berkenaan apa-apa perkara yang berkaitan dengan sijil itu.


FASAL 15. Keberhentian Ahli

    1. Keberhentian ahli ialah disebabkan:

      1. Permintaan sendiri

      2. Dipecat

      3. Mengisytihar diri keluar PAS atau menyertai parti politik lain.


    2. Seseorang ahli bolehlah memaklumkan keberhentiannya daripada menjadi ahli dengan bersurat kepada Setiausaha Agung, dan sesudah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat, maka Setiausaha Agung hendaklah memberitahu keberhentian ahli yang berkenaan itu kepada PAS Kawasan yang bersangkutan beserta salinannya kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan.

      1. Pemecatan seseorang ahli itu bolehlah dilakukan apabila terbukti ianya telah melanggar Perlembagaan PAS, Aturan dan Peraturan serta arahan-arahan, dan keputusan-keputusan parti, atau telah melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan kepentingan parti atau menyalahi tatatertib parti.

      2. PAS kawasan dan/atau Perhubungan-perhubungan negeri bolehlah mengemukakan cadangan untuk memecat seseorang ahli kepada Setiausaha Agung bagi dipertimbangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS.

      3. Seseorang ahli PAS yang terlucut kewarganegaraannya maka dengan sendirinya ia terlucut daripada menjadi ahli PAS.

      4. Kecuali ahli yang dipecat mengikut Fasal 82(9), seseorang ahli yang dipecat daripada menjadi ahli PAS, bolehlah mengemukakan rayuannya kepada Setiausaha Agung untuk dibawa ke dalam pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat rayuan itu hendaklah dibuat dalam tempoh tidak lewat dari tiga puluh hari dari tarikh pemecatannya.

      5. Seseorang ahli yang dipecat daripada menjadi ahli PAS mengikut Fasal 82(9), bolehlah mengemukakan rayuannya terus kepada Setiausaha Majlis Syura 'Ulamak untuk dibawa ke dalam pertimbangan Majlis Syura 'Ulamak dengan syarat rayuan itu hendaklah dibuat dalam tempoh tiga puluh hari daripada tarikh pemecatannya oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

      6. Seseorang ahli itu boleh dikenakan tindakan pemecatannya jika ia tidak menafikan secara bertulis kepada Setiausaha Agung akan sebarang maklumat, khabar atau berita mengenai pengisytiharan dirinya keluar PAS atau menyertai parti politik lain dalam tempoh tiga puluh hari dan tarikh surat meminta penjelasan kerananya daripada Setiausaha Agung ke alamat terakhir ahli yang berkenaan diketahui.


FASAL 16. Hak-Hak dan Kewajipan Ahli

    1. Hak-hak ahli ialah:

      1. Setiap ahli PAS berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti.

      2. Setiap ahli PAS berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan PAS serta Aturan dan Peraturannya.

      3. Setiap ahli PAS berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti.

      4. Setiap ahli PAS berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

      5. Setiap ahli PAS berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.


      1. Setiap ahli PAS berhak memohon berpindah Cawangan PAS dalam Kawasan PAS yang sama dan berkewajipan untuk mengemukakan satu permohonan bertulis untuk berpindah Cawangan dengan keterangan-keterangan yang perlu kepada Setiausaha PAS Kawasan yang hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan yang berkenaan itu.

      2. Setiap ahli PAS yang berpindah Cawangan itu tidak berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam Cawangan barunya melainkan setelah mendapat akuan kelulusan berpindah Cawangan dari Setiausaha PAS Kawasan.


    2. Kewajipan-kewajipan ahli:

      1. Menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa.

      2. Melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus.

      3. Menghadiri mana-mana kursus-kursus, tamrin-tamrin atau perhimpunan-perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan.

      4.  Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam.

      5. Memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti samada di dalam atau di luar negeri.

      6. Pada amnya melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.



      1. Setiap ahli PAS berhak memohon berpindah Kawasan PAS dan berkewajipan untuk mengemukakan satu permohonan bertulis untuk
        berpindah Kawasan dengan keterangan-keterangan yang perlu kepada Setiausaha Agung yang hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dengan seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan yang berkenaan itu.

      2. Setiap ahli PAS yang berdaftar terus ke Pejabat Agung juga berhak memohon menjadi ahli sesebuah Kawasan PAS dengan memohon mengikut kaedah yang sama yang disebutkan dalam ceraian (4)(a) Fasal ini.

      3. Setiap ahli PAS yang berpindah Kawasan itu tidak berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam Kawasan barunya melainkan setelah mendapat akuan kelulusan berpindah Kawasan dari Setiausaha Agung.


FASAL 17. Buku Daftar Ahli

    1. Tiap-tiap cawangan hendaklah mempunyai sebuah buku daftar ahli cawangannya dengan membutirkan di dalamnya akan nama, alamat, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nombor sijil ahli dan lain-lain syarat yang ditetapkan oleh Setiausaha Agung.

    2. Pejabat Setiausaha PAS Kawasan hendaklah juga mempunyai sebuah buku daftar ahli dalam kawasannya dan ahli-ahli daripada cawangan-cawangannya dengan membutirkan akan nama, alamat, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nombor sijil ahli dan lain-lain syarat yang ditetapkan oleh Setiausaha Agung.

    3. Pejabat Agung hendaklah menyedia dan menyimpan buku-buku daftar besar ahli PAS dengan membutirkan di dalamnya akan nama, alamat, kawasan, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan lain-lain yang difikirkan patut oleh Setiausaha Agung.

    4. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa membuat sebarang Aturan dan Peraturan berkenaan dengan buku daftar ahli itu.

 

<Kembali
[Laman Utama]
Seterusnya>