BAB YANG KELIMA
MUKTAMAR DAN MESYUARAT AGUNG

FASAL 18. Muktamar PAS

      1. Muktamar PAS itu terbahagi kepada:

        1. Muktamar Tahunan – Muktamar Tahunan itu hendaklah diadakan sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan April, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya lapan orang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada bilangan ahli-ahli Muktamar itu selain daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        2. Muktamar Khas – Muktamar Khas PAS bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau satu pertiga daripada PAS Kawasan-kawasan. Maka dalam Muktamar Khas ini tidaklah boleh, dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan.

        3. Notis bagi mengadakan Muktamar Tahunan dan Khas hendaklah dihantar kepada para perwakilan tidak kurang 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak diadakan.

        4. Mana-mana Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan, dengan sebab-sebab tertentu bolehlah ditangguhkan agenda pemilihannya kepada Muktamar tahun berikutnya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat ia dipersetujui oleh dua pertiga daripada ahlinya yang hadir.


      2. Muktamar Tahunan dan/atau Khas PAS itu adalah mengandungi ahli-ahli yang berikut:

        1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya.

        2. Ahli-ahli Majlis Syura „Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        3. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan.

        4. Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan jika sekiranya dia tidak dapat hadir sendiri maka hendaklah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan itu diwakili dengan bersurat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu.

        5. Tidak kurang dari empat orang dan tidak lebih dari sepuluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan tiap-tiap Kawasan yang telah menunaikan yuran tahunannya bagi tahun itu ke Pejabat Agung dengan tertakluk kepada Fasal 19(5).

        6. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat.

        7. Dua puluh orang wakil daripada diangkat oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, dan

        8. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat.


      3. Pengerusi bagi Muktamar PAS itu ialah Pengerusi Tetap dan/atau Timbalannya yang dipilih akan dia dalam Muktamar Tahunan PAS yang terakhir. Mereka akan memegang jawatan tersebut selama dua tahun, atau sehingga kepada Muktamar Tahunan yang ada pemilihannya.

      4. Dengan dikecualikan ceraian (2)(b) dan (c) Fasal ini, maka satu perdua daripada ahli-ahli Muktamar itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan Muktamar Tahunan dan/atau Khas itu.


FASAL 19. Wakil-wakil ke Muktamar dan Mesyuarat Agung

      1. Wakil-wakil hanya dapat menyertai dalam Muktamar Tahunan PAS apabila mereka dapat menunjukkan suratkuasa yang ditandatangani oleh Yang Dipertua dan/atau Setiausaha PAS Kawasan. Adapun wakil-wakil dari dewan-dewan, maka hendaklah suratkuasa itu ditandatangani oleh Ketua dan/atau Setiausaha Dewan berkenaan.

      2. Wakil-wakil yang diangkat kepada mana-mana Muktamar atau Mesyuarat Agung PAS itu hendaklah terdiri dari ahli-ahli PAS dalam Cawangan atau Kawasan atau Dewan-dewan yang mengangkatnya dan telah berumur tidak kurang daripada 18 tahun.

      3. Tiap-tiap seorang wakil itu hendaklah sanggup menerima dan taat kepada keputusan-keputusan dan ketetapan-ketetapan Muktamar dan Mesyuarat Agung.

      4. Tiap-tiap seorang wakil tidaklah boleh mewakili lebih daripada satu pihak.

      5. Tiap-tiap sebuah Kawasan berhak mengangkat empat orang wakil kepada mana-mana Muktamar PAS jika bilangan ahli PAS yang berdaftar dalam Kawasan itu berjumlah kurang dari dua ribu orang.

        Adapun sesebuah Kawasan yang mempunyai bilangan ahli PAS yang berdaftar melebihi dua ribu orang berhak menambah wakil-wakilnya ke Muktamar PAS dengan kadar seorang wakil lagi bagi setiap pertambahan seribu orang ahli yang berdaftar dengan tidak melebihi sepuluh orang wakil semuanya.

      6. Setiap wakil yang diangkat oleh mana-mana Muktamar dan/atau Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan dan Kawasan serta Dewan-dewan 'Ulamak, Pemuda dan Muslimat, maka berkuasalah mereka mewakili Muktamar dan/atau Mesyuarat Agung Tahunan yang mengangkatnya ke mana-mana Muktamar atau Mesyuarat Agung yang lebih tinggi sehingga Muktamar dan/atau Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

      7. Adapun sekiranya mana-mana perwakilan yang diangkat oleh Muktamar dan/atau Mesyuarat Agung Tahunan itu meninggal dunia atau lebih umur atau berpindah Kawasan/Cawangan atau meletak jawatan atau sebab-sebab lain, maka berkuasalah Jawatankuasa Kerja masing-masing mengangkat pengganti.

FASAL 20. Mesyuarat Agung PAS Kawasan

      1. Adapun gerakan dan pentadbiran sebuah kawasan PAS itu adalah dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu di bawah kekuasaan Majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu. Akan tetapi Majlis Mesyuarat Agung itu sendiri adalah tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS dan juga Aturan dan Peraturan mesyuarat kawasan itu.

        1. Sesebuah Kawasan hendaklah mengadakan Majlis Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan Februari, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua kawasan itu ataupun dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

        2. Mesyuarat Agung Khas Kawasan bolehlah diadakan pada bila-bila masapun jika dikehendaki oleh Yang Dipertua Kawasan itu, atau dengan kehendak, sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah cawangan-cawangan atau daripada ahli-ahli kawasan itu. Maka dalam Mesyuarat Agung Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa selain daripada perkara yang kerananya Mesyuarat Agung Khas itu diadakan.

        3. Notis Mesyuarat Agung Tahunan kawasan dan Mesyuarat Agung Khas Kawasan hendaklah dihantar kepada perwakilan dalam tempoh 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan.


      2. Ahli-ahli bagi Mesyuarat Agung Tahunan/Khas PAS Kawasan itu adalah mengandungi:

        1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya.

        2. Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

        3. Ketua-ketua Cawangan PAS dalam Kawasan itu,

        4. Wakil-wakil daripada dan diangkat oleh cawangan-cawangan dalam Mesyuarat Agungnya sebanyak mana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Kawasan itu, dan

        5. Lima belas orang wakil dari Dewan Pemuda PAS dan lima belas orang wakil di Dewan Muslimat PAS Kawasan yang diangkat dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS Kawasan itu termasuk Ketua dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS kawasan itu.


      3. Dengan dikecualikan ceraian (3)(b) Fasal ini, maka cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu hendaklah satu pertiga daripada ahli-ahli mesyuarat agung itu hadir.

      4. Pengerusi Mesyuarat Agung itu ialah Pengerusi Tetap PAS Kawasan atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun atau pada Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan yang ada pemilihannya.

      5. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan hendaklah mengangkat tidak kurang daripada empat orang dan tidak lebih 10 orang wakil ke Muktamar Tahunan PAS mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Fasal 19(5) Perlembagaan ini.

      6. Segala keputusan Mesyuarat Agung itu hendaklah dihantar ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri/Wilayah dan Pejabat Agung PAS untuk pengetahuannya.

FASAL 21. Mesyuarat Agung PAS Cawangan

      1. Sesebuah Cawangan itu hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya hendaklah sebelum berlangsungnya Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan. Satu notis mesyuarat hendaklah dihantar kepada ahli dalam tempoh 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan.

      2. Mesyuarat Agung Khas bolehlah diadakan pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Cawangan itu atau dengan kehendak sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah ahli dalam Cawangan itu termasuk Ahli-ahli Jawatankuasa Kerjanya.

      3. Ahli-ahli bagi Mesyuarat Agung PAS Cawangan itu ialah:

        1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya.

        2. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.

        3. Ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.


      4. Satu pertiga daripada ahli-ahli di atas termasuk Jawatankuasa Kerja Cawangan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Agung itu.

      5. Pengerusi bagi Mesyuarat Agung itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan yang ada pemilihannya.

      6. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan hendaklah mengangkat sejumlah wakil mengikut yang ditetapkan oleh PAS Kawasan ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan.

      7. Segala perkara yang diputuskan dan yang berbangkit di dalam Mesyuarat Agung itu hendaklah dimaklumkan kepada PAS Kawasan dan Perhubungan PAS Negeri.

FASAL 22. Tugas dan Kekuasaan Muktamar dan Mesyuarat Agung PAS

Adapun tugas dan pekerjaan Muktamar dan mesyuarat-mesyuarat agung PAS itu ialah:

      1. Mengesahkan peringatan Muktamar atau Mesyuarat agung yang lalu.

      2. Membentang dan menerima penyata-penyata dan laporan-laporan kewangan dan perjalanan tahunan PAS.

      3. Memilih Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan PAS.

      4. Memilih Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang pemeriksa Kira-kira mengikut Perlembagaan.

      5. Mengangkat wakil-wakil ke Muktamar/Mesyuarat Agung yang lebih tinggi mengikut peruntukan Perlembagaan ini.

      6. Membahas ucapan dasar di peringkat kebangsaan.

      7. Membahas usul-usul dan resolusi-resolusi.

      8. Ucapan-ucapan penangguhan.

      9. Lain-lain perkara yang ditetapkan oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja masing-masing.

 

<Kembali
[Laman Utama]
Seterusnya>