BAB YANG KETUJUH
JAWATANKUASA KERJA

FASAL 25. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

      1. Adapun Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu ialah:

        1. Seorang Presiden

        2. Seorang Timbalan Presiden

        3. Tiga orang Naib Presiden

        4. Tiga orang Ketua Dewan-dewan

        5. Seorang Setiausaha Agung

        6. Tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha Agung

        7. Seorang Bendahari

        8. Seorang Ketua Penerangan,

        9. Seorang Ketua Pengarah Pilihan Raya, dan

        10. Dua puluh empat orang Ahli Jawatankuasa Kerja Biasa.


      2. Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar Tahunan PAS pada tiap-tiap dua tahun daripada ahli-ahli PAS atau dengan apa-apa cara jua yang dipersetujui oleh Muktamar Tahunan PAS itu.

      3.  Tiga orang daripada Ketua dari Dewan-dewan itu ialah Ketua Dewan Ulamak, ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat yang telah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar masing-masing, yang diadakan sebelum daripada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan, dan mereka dengan sendirinya menjadi Naib-naib Presiden.

      4. Setiausaha Agung, tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat hendaklah dilantik oleh Presiden di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat daripada ahli-ahli PAS atau daripada kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan akan memegang jawatan itu sehingga pada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan atau sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa sebab sekalipun.

      5. Lapan belas orang daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang disebutkan dalam ceraian(1)(j) Fasal ini, hendaklah dipilih dan dilantik di dalam Muktamar Tahunan PAS tiap-tiap dua tahun sekali, dan enam daripadanya hendaklah dilantik akan dia oleh Presiden di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat daripada ahli-ahli PAS, dan akan memegang jawatan itu sehingga Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan atau dia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa sebab sekalipun.

      6. Sekiranya seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu tidak lagi menjawat jawatan itu sama ada dengan sebab meninggal dunia ataupun dengan sebab ia meminta berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa sebab yang menjadi halangan daripada menjawat jawatan tersebut, maka Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuaratnya adalah berkuasa melantik penggantinya daripada sesiapa sahaja ahli PAS sehingga Muktamar Tahunan PAS memilih semula Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      7. Seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bolehlah meminta berhenti daripada jawatannya dengan menyatakan kehendak-kehendak itu dengan bersurat kepada Setiausaha Agung, dan pemberhentiannya itu hendaklah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat supaya diangkat dan dilantik gantinya daripada ahli-ahli PAS yang difikirkan layak oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      8. Jika sekiranya Presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka Timbalan Presiden dengan sendirinya memangku jawatan Presiden sehingga Presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula.

      9. Jika sekiranya Presiden dan Timbalannya berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa sebab juapun yang menjadikan mereka terhalang daripada memegang jawatan-jawatan itu, maka salah seorang daripada Naib-Naib Presiden yang dilantik oleh Muktamar Tahunan hendaklah dipilih oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan seorang lagi memangku jawatan Timbalan Presiden bagi menjalankan pentadbiran dan kerja-kerja Presiden dan Timbalannya sehingga seorang Presiden dan Timbalan Presiden dapat dipilih semula atau dapat memegang semula jawatannya itu, maka hendaklah dipilih di antara kalangan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi memangku jawatan Naib-Naib Presiden itu sehingga mereka dapat dipilih semula atau dapat memegang jawatan itu semula setelah Presiden dan Timbalannya memegang jawatan mereka semula.

      10. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan, atau pada sebarang masa yang lain yang diadakan oleh Presiden atau sebarang masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat mereka menghantar surat yang menyatakan kehendak dan sebab kemustahakan mesyuarat itu diadakan kepada Setiausaha Agung.

      11. Presiden atau Timbalannya atau gantinya atau sesiapa sahaja daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang hadir yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu bolehlah mempengerusikan mesyuaratnya ketika salah seorang daripadanya berhalangan atau/dan kedua-duanya berhalangan untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

      12. Cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu ialah lima belas orang daripada ahli-ahlinya.

      13. Adapun seseorang ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Agung.

      14. Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat adalah dengan sendirinya menjadi Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

      15. Pengerusi bagi mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat itu ialah Presiden, dan jika ia berhalangan, maka Timbalan Presiden, dan jika Timbalan Presiden itu berhalangan juga, maka salah seorang daripada Naib-naib Presiden hendaklah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

      16. Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Harian itu ialah tujuh orang daripada ahli-ahlinya yang hadir.

      17. Jika Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat itu berhalangan atau apa-apa jua sebab yang ia tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja atau Jawatankuasa Harian PAS Pusat, maka Timbalan Ketua masing-masing bolehlah diwakilkan secara bersurat untuk hadir di dalam mesyuarat-mesyuarat itu.

      18. Sekiranya Setiausaha Agung berkeuzuran dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat, maka mana-mana seorang Penolong Setiausaha Agung bolehlah menggantikan beliau secara bersurat dalam mesyuarat tersebut.


FASAL 26. Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

      1. Presiden

        1. Bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukannya dan yang diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan ini bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya.

        2. Bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        3. Melantik Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik serta Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        4. Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.

        5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.


      2. Timbalan Presiden

        1. Membantu tugas-tugas Presiden

        2. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat apabila Presiden berhalangan atau tidak hadir.


      3. Naib-naib Presiden

        1. Membantu tugas-tugas Presiden

        2. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat apabila Presiden dan Timbalannya berhalangan atau tidak hadir.


      4. Setiausaha Agung

        1. Bertanggungjawab secara langsung kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        2. Menjadi ketua pegawai yang bertanggungjawab bagi pelaksanaan pentadbiran Pejabat Agung PAS dan penyelaras kepada kerja-kerja dan tugas-tugas yang diperuntukkan kepada Setiausaha Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas segala tindakan yang dijalankan berhubung dengan pentadbiran Pejabat Agung dan kegiatan kepartian seluruhnya.

        4. Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Jawatankuasa Harian PAS Pusat dan Muktamar Tahunan/Khas PAS Pusat.

        5. Bertanggungjawab atas penyusunan dan pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Agung dengan persetujuan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

        6. Menyediakan sebarang penyata mengenai kerja dan kemajuan parti bagi tujuan Muktamar Tahunan/Khas dan mana-mana Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.


      5. Penolong-penolong Setiausaha Agung

        1. Bertanggungjawab kepada Setiausaha Agung.

        2. Membantu Setiausaha Agung dalam urusan pentadbiran Pejabat Agung PAS dan penyelaras kepada kerja-kerja dan tugas-tugas yang diperuntukan kepada Setiausaha Dewan-dewan 'Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

        3. Membantu tugas-tugas Setiausaha Agung.


      6. Bendahari

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Pejabat Agung.

        2. Menyediakan anggaran belanjawan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        3. Bertanggungjawab menyediakan penyata kewangan tahunan untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira PAS Pusat dan juga oleh Pemeriksa Kira-kira bertauliah yang dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

        4. Membentangkan penyata kewangan kepada Muktamar Tahunannya.

        5. Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan parti.


      7. Ketua Penerangan

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh kegiatan dakwah dan penerangan PAS.

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaras program dan kegiatan penerangan yang sesuai dengan tujuan dan dasar perjuangan PAS.

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan itu.

        4. Menyedia dan mengeluarkan kenyataan, risalah dan apa jua penerbitan parti yang sesuai dengan dasar, tujuan dan ketetapan-ketetapan parti dari masa ke semasa.


      8. Ketua Pengarah Pilihan Raya

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihan raya PAS.

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihan raya PAS.

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihan raya.


      9. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja

        1. Melaksana, menyusun dan mengatur strategi dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjalankan program politik, ekonomi, pelajaran, kemasyarakatan dan lain-lain mengikut dasar yang ditentukan kepadanya oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini dan oleh mana-mana badan yang diberi kepadanya kuasa menetapkan dasar oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini.

        2. Memberi perhatian terhadap kegiatan umum kerajaan dan menyelaraskan sikap dan pendirian ahli-ahli PAS dalam Parlimen supaya dapat dipertanggungjawabkan kepada dasar dan keutuhan Parti.

        3. Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 82(5) Perlembagaan ini.

        4. Mengambil apa-apa tindakan tatatertib tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana ahli PAS yang diadukan kepadanya menurut Fasal 82(9).

        5. Mendengar dan mempertimbangkan rayuan tatatertib mengikut Fasal 83(2) Perlembagaan ini.

        6. Memilih dan memuktamadkan calon-calon bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dengan syarat hendaklah pemilihan dan keputusan mengenainya tertakluk kepada peraturan pemilihan calon yang ditentukan oleh Majlis Syura ‘Ulamak.

        7. Membuat semua Aturan dan Peraturan berhubung dengan pentadbiran parti termasuk soal-soal mengenai pilihan raya dan soal-soal yang berbangkit mengikut Fasal 84 dan 85 Perlembagaan ini.

        8. Membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa atau lajnah-lajnah yang diperlukan bagi menjalan dan melicinkan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS serta melantik ahli-ahlinya dan menyediakan peraturan-peraturannya.

        9. Menyelaraskan kegiatan gerakan dan pentadbiran Badan-badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan dan Dewan-dewan yang ditubuhkan di bawah peruntukan Perlembagaan ini.

        10.  Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambil alih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa Tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.

        11. Membuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS dan membuat keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh Majlis Syura ‘Ulamak.

        12. Memberhentikan, mengganti dan melantik baru mana-mana Ahli Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan di bawah Ceraian (9)(h) Fasal ini dari semasa ke semasa termasuklah membubarkan mana-mana Jawatankuasa Kecil itu yang difikirkan tidak mustahak lagi. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa melantik mana-mana ahli PAS bagi memenuhi mana-mana kekosongan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sama ada kerana seseorang ahli itu berhenti, diberhentikan, meninggal dunia atau kerana ianya bercuti yang melebihi daripada 2 bulan.

        13. Pada amnya menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden serta melaksanakan apa saja usaha untuk kemajuan parti akan keutuhan umat Islam.


FASAL 27. Tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Pusat

      1. Menimbang sebarang permohonan menjadi ahli PAS, permohonan berhenti menjadi ahli PAS dan permohonan ahli berpindah Kawasan.

      2. Membuat sebarang keputusan untuk kelicinan kerja-kerja pentadbiran Pejabat Agung dan urusan-urusan biasa parti.

      3. Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.

      4. Menimbang sesuatu hal yang mustahak yang terpaksa disegerakan.

      5. Melaksanakan sebarang tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kuasanya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

      6. Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh jawatankuasa ini mengikut Ceraian (1), (2), (3) dan (4) Fasal ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.


FASAL 28. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan

    1.  Adapun Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu ialah:

      1. Seorang Yang Dipertua

      2. Seorang Timbalan Yang Dipertua

      3. Seorang Naib Yang Dipertua

      4. Seorang Ketua Urusan‟Ulamak

      5. Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan

      6. Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan.

      7. Seorang Setiausaha

      8. Tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha

      9. Seorang Bendahari

      10. Seorang Ketua Penerangan

      11. Seorang Pengarah Pilihan Raya

      12. Tidak lebih daripada dua puluh empat orang dan tidak kurang daripada dua belas orang Ahli Jawatankuasa Kerja Biasa.


    2. Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua dan Ketua Urusan „Ulamak PAS Kawasan itu hendaklah dipilih dan dilantik tiap-tiap dua tahun sekali daripada ahli-ahli PAS Kawasan itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang ada pemilihannya.

    3. Dua orang daripada Ketua Dewan-dewan itu ialah Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan yang dipilih dan dilantik dalam Mesyuarat Agung Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan yang diadakan sebelum Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu.

    4. Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, dan akan memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang akan datang atau sehingga ia meletakkan jawatan atau dengan apa-apa jua sebab yang menghalang bagi pemegang jawatan-jawatan itu dari menjalankan tugas yang ditentukan kepadanya.

    5. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam ceraian (1)(l) Fasal ini hendaklah dua pertiga daripadanya dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada tiap-tiap dua tahun sekali dan satu pertiga daripadanya dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan daripada ahli-ahli PAS dalam Kawasan itu, dan mereka hendaklah memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang akan datang atau sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

      1. Tiap-tiap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam ceraian (1) Fasal ini kecuali Ketua-ketua Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan, bolehlah meminta berhenti daripada jawatannya dengan bersurat dan bolehlah ditimbang dan diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan. Kemudian Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu bolehlah mengangkat penggantinya daripada ahli PAS dalam kawasan itu.

      2. Ketua-ketua Dewan bolehlah meminta berhenti daripada Jawatankuasa Kerja Dewan-dewan PAS Kawasan itu, dan memberitahu keberhentiannya itu kepada Setiausaha PAS Kawasan untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dalam mesyuarat atau dengan surat pekeliling, dan selama jawatan itu belum dipenuhkan, maka Timbalannya bolehlah menduduki tempat di dalam Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan itu.

      3. Setiausaha PAS Kawasan bolehlah meminta berhenti dengan menyatakan kehendak itu dengan bersurat kepada Yang Dipertua PAS Kawasan itu sebelum tarikh yang ia hendak berhenti itu, Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan bolehlah meluluskan permintaan itu.

      4. Setiausaha PAS Kawasan yang dipecat sebagai ahli Perhubungan PAS Negeri mengikut Fasal 40(16) Perlembagaan ini dengan sendirinya terlucut jawatan sebagai Setiausaha PAS Kawasan, dan Yang Dipertua PAS Kawasan hendaklah melantik mana-mana ahli PAS dalam Kawasan itu sebagai Setiausaha PAS Kawasan mengikut Ceraian (4) Fasal ini.


    6. Jika sekiranya Yang Dipertua PAS Kawasan itu berhenti atau diberhentikan atau apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada dapat menunaikan tugasnya, maka Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan itu hendaklah menjalankan tugas dan kerja-kerjanya sehingga kepada Mesyuarat Agung Kawasan yang akan datang yang apa padanya pemilihan, jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Yang Dipertua hendaklah dilantik memangku jawatan Yang Dipertua dan seorang dari Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan hendaklah dilantik memangku jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan dan seorang lagi dari Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan hendaklah dilantik memangku jawatan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan sehingga ke mesyuarat Agung Kawasan yang akan datang yang ada pemilihan. Dan di tempat mereka yang mereka kosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu daripada mana-mana jua ahli PAS di Kawasan itu.

    7. Dengan tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam ceraian (2), (3), (4), (5) dan (6) di atas, maka Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan adalah berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan daripada menjalankan kerja-kerjanya pada/atau dalam masa yang ditentukan. Akan tetapi tidaklah boleh diberhentikan seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja itu melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

    8. Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu, atau pada sebarang masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa itu yang meminta dengan bersurat kepada Setiausaha PAS Kawasan itu dan menyatakan sebab-sebabnya.

    9. Satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

    10. Adapun seseorang Ahli Jawatankausa Kerja PAS Kawasan itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha PAS Kawasan.

    11. Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Ketua Urusan „Ulamak, Ketua Dewan Pemuda, Ketua Dewan Muslimat, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan adalah dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian PAS Kawasan itu.

    12. Tujuh orang dari jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Harian itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

    13. Jawatankuasa ini hendaklah mengadakan mesyuaratnya seberapa banyak yang boleh dan hendaklah tidak kurang daripada enam kali dalam setahun.

    14. Yang Dipertua atau Timbalannya, jika Yang Dipertua itu berhalangan, hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan itu. Jika sekiranya Yang Dipertua atau Timbalannya berhalangan juga, maka hendaklah Naibnya mempengerusikan mesyuarat itu dan jika Naibnya juga berhalangan maka hendaklah salah seorang daripada ahli-ahli yang hadir dipilih menjadi pengerusi mesyuarat itu.


FASAL 29. Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan

      1. Yang Dipertua

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan Parti dalam kawasannya.

        2. Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dalam menjalankan tugas dan melaksanakan tugas, kegiatan dan pentadbiran PAS Kawasan.

        3. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan.


      2. Timbalan Yang Dipertua

        1. Membantu tugas-tugas Yang Dipertua PAS Kawasan.

        2. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan apabila Yang Dipertua PAS Kawasan berhalangan atau tidak hadir.

        3. Menggantikan Yang Dipertua PAS Kawasan sebagai ahli Perhubungan PAS Negeri jika Yang Dipertua PAS Kawasan dipecat sebagai ahli Perhubungan PAS Negeri mengikut Fasal 40(16) Perlembagaan ini.


      3. Naib Yang Dipertua

        1. Membantu tugas-tugas Yang Dipertua PAS Kawasan.

        2. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan apabila Yang Dipertua PAS Kawasan dan Timbalannya berhalangan atau tidak hadir.


      4. Ketua Urusan Ulamak

        1. Bertanggungjawab menyatukan „Ulamak-ulamak PAS dalam Kawasan itu serta ‘Ulamak-ulamak yang belum menyertai PAS supaya menyertai PAS.

        2. Membantu menyusun dan menyelaras apa-apa program dan kegiatan yang berkaitan dengan tarbiyah, pengajian dan usrah di semua peringkat dalam kawasan berkenaan.

        3. Membentuk Jawatankuasa Urusan „Ulamak PAS Kawasan serta melantik ahli-ahlinya dari kalangan „ulamak ahli PAS dalam Kawasan itu mengikut Fasal 30 Perlembagaan ini di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan.


      5. Setiausaha

        1. Bertanggungjawab secara langsung kepada Yang Dipertua dan Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan.

        2. Bertanggungjawab atas kesempurnaan pentadbiran Pejabat PAS Kawasan dan kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, Jawatankuasa Harian dan Mesyuarat Agung Tahunan dan/atau Khas Kawasan.

        3. Melaporkan semua tindakan pentadbiran yang dilakukan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan.

        4. Menyediakan penyata-penyata atau laporan-laporan kemajuan PAS Kawasan kepada mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan, Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan dan seterusnya Pejabat Agung.

        5. Mengambil kakitangan Pejabat PAS Kawasan samada bergaji atau tidak dengan persetujuan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan.


      6. Penolong Setiausaha

        1. Membantu tugas-tugas Setiausaha PAS Kawasan

        2. Memangku jawatan Setiausaha ketika ketiadaan Setiausaha.


      7. Bendahari

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan kewangan PAS Kawasan.

        2. Bertanggungjawab bagi menyediakan penyata tahunan PAS Kawasan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira, dan membentangkan penyata itu kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan.

        3. Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan PAS Kawasan.


      8. Ketua Penerangan

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan Kawasan.

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan dalam Kawasan.

        3.  Bertanggungjawab melaporkan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan dan Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan dalam Kawasan.


      9. Pengarah Pilihan Raya

        1. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihan raya PAS Kawasan.

        2. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihan raya PAS Kawasan.

        3. Bertanggungjawab melaporkan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan dan Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihan raya.



      10. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja

        1. Bertanggungjawab membantu menjalankan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang lain dan menjalankan arahan-arahan Yang Dipertua PAS Kawasan bagi meluas dan mengembangkan pengaruh PAS dalam kawasannya dan menubuhkan cawangan-cawangan serta membimbingnya ke arah kemajuan.

        2. Menggalakkan semua kegiatan parti dalam semua bidang dan lapangan, termasuk pemuda, muslimat dan soal-soal kemasyarakatan amnya.

        3. Mengambil berat terhadap masalah-masalah ditempatnya, dan jika perlu mengemukakan masalah itu hingga ke peringkat Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan.

        4. Memberi sepenuh kerjasama kepada Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan untuk penyatuan tenaga, sikap dan tindakan dalam segenap bidang.

        5. Membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa kecil atau lajnah-lajnah yang difikirkan perlu.

        6. Memilih dan melantik ahli-ahli PAS bagi mewakili PAS Kawasan ke dalam sebarang kumpulan atau jemaah mesyuarat atau majlis-majlis perundingan dan perjumpaan dalam Kawasan itu. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan juga adalah berkuasa melantik daripada mana-mana ahli PAS dalam kawasan itu bagi memenuhi kekosongan mana-mana Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu, sama ada oleh kerana ianya diberhenti, diberhentikan, meninggal dunia atau bercuti yang melebihi daripada 2 bulan.

        7. Mengangkat wakil ke Muktamar PAS yang disebut dalam Fasal 18 Perlembagaan ini, jika wakil yang diangkat oleh Mesyuarat Agung PAS Kawasan tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini.

        8. Pada amnya menjalankan tugas dan arahan-arahan yang diarahkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan serta bertanggungjawab bagi menjalankan usaha-usaha politik dan hal ehwal kawasannya sesuai dengan kehendak dan dasar PAS.


      11.  Tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Kawasan

        1. Membuat sebarang keputusan untuk kelicinan dan kelancaran kerja-kerja dan pentadbiran Pejabat PAS Kawasan dan urusan-urusan biasa parti di Kawasan.

        2. Menimbangkan sesuatu hal yang mustahak dan terpaksa disegerakan.

        3. Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan mana-mana pihak di peringkat Kawasan selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.

        4. Melaksanakan tugas-tugas yang diperturunkan kepadanya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dari masa ke semasa.


      12. Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh jawatankuasa ini mengikut pecahan (a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklum dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan.


FASAL 30. Jawatankuasa Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan

      1. Bagi memajukan dan mempergiatkan lagi perjalanan dan pergerakan parti serta menyatukan 'Ulamak-'ulamak PAS dalam sesebuah Kawasan, maka Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan hendaklah membentuk dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Urusan 'Ulamak PAS Kawasan yang terdiri daripada:

        1. Seorang Ketua

        2. Seorang Naib Ketua

        3. Seorang Setiausaha

        4. Seorang Bendahari

        5. Tidak lebih daripada tujuh orang Ahli Jawatankuasa Biasa.


      2. Ahli-ahli Jawatankuasa Urusan „Ulamak PAS Kawasan itu hendaklah dilantik daripada kalangan „ulamak ahli PAS dalam Kawasan itu oleh Ketua Urusan „Ulamak PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan selepas Mesyuarat Agung PAS Kawasan yang ada pemilihan, dan hendaklah memegang jawatan masing-masing selama dua tahun atau sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan itu yang ada pemilihan atau sehingga ia meminta berhenti atau, diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

      3. Jawatankuasa ini hendaklah menyediakan sebuah buku daftar ahli yang dicatatkan di dalamnya nama, nombor kad pengenalan, pekerjaan, kelulusan pengajian dan nombor sijil PAS „ulamak-„ulamak dalam Kawasan itu.

      4.  Jawatankuasa ini bolehlah menjalankan kegiatannya masing-masing dengan syarat tidak berlawanan dengan dasar dan kehendak-kehendak Perlembagaan PAS dan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, serta mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan.
      5. Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan dan tidak lebih dari tiga orang Ulamak yang dilantik oleh mesyuarat Jawatankuasa ini adalah menjadi ahli kepada Muktamar Tahunan/Khas Dewan Ulamak PAS Negeri dan/atau Pusat.

      6. Enam orang yang hadir daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa ini adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya masing-masing.

      7. Ketua, atau Naibnya jika Ketua Jawatankuasa ini berhalangan hendaklah mempengerusikan semua mesyuaratnya.


FASAL 31. Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan

    1. Adapun Jawatankuasa Kerja bagi sesebuah cawangan PAS itu ialah:

      1. Seorang Ketua

      2. Seorang Naib Ketua

      3. Seorang Setiausaha

      4. Seorang Bendahari

      5. Seorang Ketua Penerangan

      6. Seorang Ketua Jawatankuasa Pemuda

      7. Seorang Ketua Jawatankuasa Muslimat

      8. Tidak lebih daripada dua belas orang dan tidak kurang daripada enam orang Ahli Jawatankuasa Biasa PAS Cawangan.


    2. Ketua, Naib Ketua, Ketua-Ketua Jawatankuasa Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan, serta dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja seperti yang disebutkan dalam Ceraian (1)(h) Fasal ini hendaklah dipilih dalam mesyuarat agung tahunan daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu, dan akan memegang jawatan masing-masing selama dua tahun atau sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan dengan apa-apa sebab sekalipun.

    3. Dengan tidak terikat kepada ceraian (2) Fasal ini, sekiranya Mesyuarat Agung Tahunan PAS mana-mana cawangan gagal melantik Ketua Jawatankuasa Pemuda atau Muslimat di atas apa-apa sebab sekalipun, maka Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu adalah berkuasa melantik Ketua Jawatankuasa Kerja Pemuda atau Muslimatnya daripada ahli-ahli Pemuda PAS atau Muslimat PAS dalam Cawangan itu pada bila-bila masa di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu.

    4. Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan serta satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang disebutkan dalam Ceraian (1)(h) di atas hendaklah dilantik oleh Ketua Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.

    5. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan yang dilantik itu hendaklah memegang jawatan masing-masing selama dua tahun atau sehingga Mesyuarat Agung Tahunan yang ada pemilihan atau sehingga ia meletakkan jawatan atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan dengan apa-apa sebab sekalipun.

    6. Jika Ketua Cawangan itu berhenti atau diberhentikan, maka Naibnya hendaklah memangku jawatan itu dan untuk mengisi kekosongan pada jawatannya itu boleh diangkat seorang daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Cawangan itu sebagai pemangku Naib Ketua dan akan memegang jawatan itu sehingga ke Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan yang ada pemilihan.

    7. Seseorang Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan bolehlah meminta berhenti daripada Jawatankuasa itu dengan menyatakan kehendaknya dengan bersurat kepada Setiausaha PAS Cawangan itu, dan permintaannya itu bolehlah diluluskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Cawangan. Dan mesyuarat itu kemudiannya bolehlah mengangkat penggantinya daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.

    8.  Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang-kurangnya tiga bulan sekali atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Cawangan atau dengan kehendak satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu.

    9. Satu pertiga daripada jumlah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

    10.  Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha PAS Cawangan.

    11. Ketua PAS Cawangan atau jika dia berhalangan, maka Naibnya hendaklah menjadi pengerusi mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.


FASAL 32. Jawatankuasa Kerja Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan

      1. Bagi memajukan dan mempergiatkan lagi perjalanan dan pergerakan parti dalam bidang-bidang kepemudaan dan kewanitaan, maka Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan hendaklah membentuk dan menubuhkan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan yang terdiri daripada:

        1. Seorang Ketua

        2. Seorang Naib Ketua

        3. Seorang Setiausaha

        4. Seorang Bendahari

        5. Tidak lebih daripada enam orang Ahli Jawatankuasa Biasa.


        1. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Cawangan itu hendaklah dilantik daripada kalangan pemuda-pemuda ahli PAS dalam Cawangan itu yang berumur 40 tahun ke bawah oleh Ketua Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan selepas Mesyuarat Agung PAS Cawangan yang ada pemilihan, dan hendaklah memegang jawatan masing-masing selama dua tahun atau sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan itu yang ada pemilihan atau sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerjanya dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

        2. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS Cawangan itu hendaklah dilantik daripada kalangan muslimat-muslimat ahli PAS dalam Cawangan itu oleh Ketua Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan selepas Mesyuarat Agung PAS Cawangan yang ada pemilihan, dan hendaklah memegang jawatan masing-masing selama dua tahun atau sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan itu yang ada pemilihan atau sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerjanya dengan apa-apa jua sebab sekalipun.


      2. Jawatankuasa-jawatankuasa ini hendaklah menyediakan sebuah buku daftar ahli yang dicatatkan di dalamnya nama, nombor kad pengenalan, umur (bagi pemuda), pekerjaan dan nombor sijil PAS pemuda-pemuda dan muslimat dalam Cawangan itu.

      3. Jawatankuasa-Jawatankuasa ini bolehlah menjalankan kegiatannya masing-masing dengan syarat tidak berlawanan dengan dasar dan kehendak-kehendak Perlembagaan PAS dan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, serta mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.

      4. Ketua dan Setiausaha Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan dan tidak lebih dari lima orang ahli Pemuda atau Muslimat yang dilantik oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya masing-masing adalah menjadi ahli kepada Mesyuarat Agung Tahunan/Khas Dewan-Dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan.

      5. Lima orang yang hadir daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa ini adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya masing-masing.

      6. Ketua, atau Naibnya jika Ketua Jawatankuasa-Jawatankuasa ini berhalangan hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuaratnya masing-masing.


FASAL 33. Tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan

    1. Berikhtiar dengan seluas-luasnya mengembangkan pengaruh dan membanyakkan ahli-ahli PAS dalam Cawangannya.

    2. Menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh PAS dari masa ke semasa.

    3. Menyelaras dan membimbing kegiatan-kegiatan pemuda dan muslimat di cawangannya.

    4. Pada amnya adalah bertanggungjawab bagi menjalankan pentadbiran cawangan dengan baik dan memajukan parti dalam lingkungan cawangannya.

    5. Mengangkat wakil-wakil ke Mesyuarat Agung Tahunan/Khas PAS Kawasan jika wakil yang diangkat oleh Mesyuarat Agung PAS Cawangan tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini.


FASAL 34. Notis Mesyuarat Jawatankuasa Kerja

      1. Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian yang disebut dalam Fasal 25, 28 dan 31 Perlembagaan ini.

      2. Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha ketika ketiadaannya bagi Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan-dewan „Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang disebut dalam Fasal 45, 49, 53, 57, 61, 65, 69 dan 73 Perlembagaan ini.

      3. Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Negeri ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri dan Jawatankuasa Harian Perhubungan Negeri yang disebut dalam Fasal 40 Perlembagaan ini.

      4. Dengan mengabaikan Ceraian (1), (2) dan (3) Fasal ini, mana-mana mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja yang disebut dalam Ceraian-ceraian di atas bolehlah diadakan pada bila-bila yang dikehendaki oleh Presiden atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau Yang Dipertua PAS Kawasan atau Ketua PAS Cawangan atau Ketua Dewan-dewan berkenaan. Setiausaha Agung atau Setiausaha yang berkenaan hendaklah mengeluarkan notis mesyuarat pada bila-bila masa yang sesuai dengan apa-apa cara yang difikirkan munasabah untuk menyampaikan notis tersebut.

 

<Kembali
[Laman Utama]
Seterusnya>